Monday, April 9, 2012

Antara benua-

Saya cuma mahu berbahasa Melayu di sini.

Teman sekerjaku, M, akan ke Nigeria dalam masa terdekat. Teman lelakinya warganegara Nigeria dan bekerja di sana. Mereka berkenalan beberapa tahun lepas di sebuah universiti di Melaka, dan teman lelakinya, O, telah kembali ke Nigeria pada 2010. M akan meninggalkan kerja, keluarga dan segalanya yang dia ada untuk bersama dengan O, di tanah tumpah darah O yang masih bergolak dan tidak stabil letak duduk ekonomi, politik dan keselamatan.

Begitu kuasanya cinta.

Sejak O kembali ke Nigeria pada 2010, M telah mula bekerja, beli kereta dan kumpul sedikit harta di sini. M anak sulung dan mempunyai seorang adik lelaki yang juga telah bekerja, ibu M seorang suri rumah dan merupakan seorang tongue cancer survivor. Bapa M, seorang jurujual buku dan ensiklopedia. Mereka keluarga golongan pertengahan, working class heroes bak kata Lennon pada tahun 1960-an.

Kalau awak pernah jumpa M, awak akan tahu betapa desirable nya dia, dari segi rupa, cara pemikiran, wawasan dan cara kerja. Dia tidak pernah putus dengan idea, dan kadang- kadang mesyuarat kami kerap dilanjut masa kerana idea dia datang mencurah- curah bagai salji di musim sejuk di Rusia. Aku senang sekali bekerja dengan M untuk hampir satu tahun kami di sini.

Bila dia mengkhabarkan berita yang dia akan ke Nigeria dalam waktu terdekat, dan bila ditanya untuk berapa lama dia di sana, indefinitely adalah jawapan yang kami terima. Terdiam sebentar kami. Andai M memilih untuk meneruskan kariernya di Malaysia, aku yakin yang di pengakhirannya dia akan menjadi satu nama yang cukup besar dan gah. Namun dia tidak mahu semua itu.

Tempatku adalah di sisi O. 

Bila dia menuturkan begitu, aku merasa sungguh damai. Rupanya bukan cuma aku seorang pencinta tolol, yang akan melepaskan semua punya aku untuk cinta.

M menghitung hari terakhirnya di sini, dan aku terkadang merasa sungguh beban yang dia galas. Urusan- urusan dokumen berpita merah, yang prosesnya harus dilicinkan dengan duit, dengan keluarga yang harus ditinggalkan, keselesaan dan familiarity.... Bukan calang orang.

Walaupun dia sendiri yang memilih untuk ke sana, namun aku merasakan ini juga ujian untuk dia. Siapa juga yang bilang ujian cuma datang bertemankan air mata?

Dalam pengakhiran hari- hari ini, M, semoga kau tabah menghadap segalanya. Dan semoga dilebihkan bahagia dan kekuatan dan diselamatkan Tuhan nyawamu di sana.

No comments:

Post a Comment